Skip Ribbon Commands
Skip to main content
SharePoint

Penglibatan

Penglibatan


Persidangan Majlis Mesyuarat Negeri (LegCo)

Persidangan Majlis Mesyuarat Negara (LegCo) yang diadakan pada setiap tahun pada bulan Mac adalah satu platform bagi membincangkan mengenai pelbagai isu yang tertumpu kepada pembangunan negara kearah yang lebih maju dan berdaya saing untuk manfaat dan kebajikan orang awam. Majlis Mesyuarat Negara telah ditubuhkan mengikut Artikel 23 Perlembagaan Brunei Darussalam 1959, manakala ahli-ahli perlembagaan dilantik mengikut Artikel 24. Majlis Mesyuarat Negara telah dibubarkan pada tahun 1984 dan telah ditubuhkan semula pada tahun 2004.

 

Majlis Mesyuarat Negara terdiri daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; menteri-menteri kabinet dan tiga keahlian: ahli-ahli rasmi kerana jawatan, wakil-wakil yang dilantik dari daerah-daerah dan orang-orang yang telah mencapai kecemerlangan.

 

Perlantikan tiga keahlian ini adalah berperanan bagi mewakili suara-suara, pendapat dan pandangan rakyat untuk membantu dalam proses membuat keputusan secara rasmi melalui platform saluran yang lebih besar bagi meningkatkan perspektif, merangsangkan idea-idea dalam pembangunan negara, mengatasi isu-isu sosial, ekonomi dan lain-lain yang dihadapi oleh orang awam hari ini.

 

Untuk maklumat lanjut, sila klik di sini.



Kaji Selidik dan Undian

Kerajaan Negara Brunei Darussalam mengalu-alukan penglibatan orang ramai untuk mengambil bahagian melalui rangkaian kaji selidik dan pengundian yang menggunakan kaedah konsep tanpa kertas bagi mendapatkan tindak balas serta-merta daripada orang awam mengenai pelbagai topik.

Inisiatif ini membolehkan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan untuk mengumpul, mengkaji, menganalisa dan mengumpul maklumat-maklumat yang relevan bagi membangunkan dasar, merancang dan melancarkan lagi perjalanan perkhidmatan awam.


Social Media Hub

Demi untuk berkembang lebih maju dan mengikut peredaran trend yang terkini, Kerajaan Negara Brunei Darussalam telahpun menggunakan media sosial yang mana dihasratkan untuk meningkatkan lagi interaksi saluran dua hala di antara rakyat dan agensi-agensi kerajaan, sekaligus agar dapat memberi perkhidmatan mesra pelanggan yang lebih baik dalam penyampaian maklumat-maklumat yang penting dan terkini seperti pengumuman, berita, acara rasmi negara, dasar, mempromosi perkhidmatan-perkhidmatan dan lain-lain.

Dengan adanya kaedah ini, penyampaian dan penyebaran maklumat-maklumat rasmi Kerajaan Negara Brunei Darussalam dapat dilaksanakan dengan lebih efisien, lebih telus dan lebih terbuka kepada orang awam dari setiap peringkat umur melalui akaun-akaun media sosial rasmi agensi kerajaan seperti Facebook, Instagram atau Twitter. Ini juga membolehkan orang ramai mengongsikan maklumat-maklumat tersebut dengan lebih mudah dan cepat bersama keluarga, kawan-kawan dan rakan sekerja dan membantu menjimatkan sumber daya dan masa untuk menghubungi agensi-agensi yang berbeza untuk mengetahui kesahihan maklumat-maklumat dan berita-berita yang tersebar luas dari pelbagai sumber.

Senarai akaun-akaun media sosial rasmi agensi-agensi kerajaan boleh didapati di Social Media Hub.


Talian Darussalam 123

Talian Darussalam 123 ialah Pusat Panggilan Kebangsaaan bagi perkhidmatan-perkhidmatan kerajaan yang bukan berbentuk kecemasan di Negara Brunei Darussalam yang beroperasi selama 24 jam sehari, 365 hari setahun.

Perkhidmatan ini membolehkan orang ramai untuk membuat aduan atau pertanyaan, memberi cadangan atau maklum balas, dan mendapatkan maklumat tentang mana-mana perkhidmatan yang disediakan oleh Kerajaan Brunei Darussalam. Inisiatif ini sekaligus dapat mengukuhkan lagi kerjasama pihak Kerajaan Negara Brunei Darussalam dengan orang awam agar dapat meningkatkan tahap prestasi dan mesra pelanggan untuk perkhidmatan-perkhidmatan yang ditawarkan oleh agensi-agensi kerajaan.

Orang awam boleh menghubungi Talian Darussalam 123 melalui pelbagai saluran yang telah disediakan seperti berikut:

• Nombor Hotline 123
• Borang online di www.123.com.bn
• E-mel: info@123.com.bn
• WhatsApp: +673 8333123
• Media sosial: Facebook, Instagram dan Twitter
Aplikasi mudah alih TD123 

Orang ramai akan diberi ID tiket sebaik sahaja menghubungi Talian Darussalam 123 yang membolehkan mereka membuat susulan mengenai kedudukan atau perkembangan aduan, cadangan, maklum balas dan pertanyaan yang telah dikemukakan. Pada bulan Mac 2017, jumlah bilangan panggilan yang diuruskan oleh Talian Darussalam 123 adalah lebih daripada 900,000 panggilan sejak penubuhannya pada Mac 2014. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.123.gov.bn