Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan bagi penubuhan satu tabung bantuan kemanusiaan yang dikenali sebagai 'Tabung Kemanusiaan Bencana Sulawesi (TKBS)'. 

Penubuhan Tabung Kemanusiaan ini bertujuan untuk mengumpulkan derma berbentuk kewangan daripada semua rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam bagi membantu meringankan beban penderitaan yang ditanggung oleh mangsa-mangsa gempa bumi dan tsunami di Sulawesi, Indonesia yang berlaku pada 28 September 2018 yang lalu. 

Orang ramai bolehlah menderma ke Tabung Kemanusiaan Bencana Sulawesi melalui perkhidmatan SMS Brunei Prihatin bermula dari 9 Oktober 2018 hingga 22 November 2018, dengan menaip:

BANTU (tanpa jarak) diikuti dengan jumlah 1,5,10,15 atau 20
[Contoh bagi sumbangan $20.00: BANTU20]

Dan hantar ke talian 38111
(bagi pelanggan DST dan pelanggan PCSB)

Orang ramai yang berhasrat untuk memberikan sumbangan juga boleh berbuat demikian melalui tabung-tabung yang disediakan di bangunan bank-bank, gedung-gedung perniagaan dan bangunan-bangunan awam di seluruh negara bermula 9 Oktober 2018 hingga 6 Januari 2018. Manakala tabung-tabung di masjid-masjid dan surau-surau akan mula dibukakan pada hari Jumaat, 12 Oktober 2018.

Mana-mana pihak yang berhasrat untuk menyediakan peti tabung bagi mengadakan kutipan amal, boleh mendapatkan pelekat khas dari pihak Urus Setia Tabung Kemanusiaan Bencana Sulawesi (TKBS) di Bahagian Pentadbiran dan Kewangan, Tingkat 2, Jabatan Pembangunan Masyarakat, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Jalan Kebangsaan pada waktu pejabat.

Derma juga boleh dihantar terus kepada Urus Setia pada waktu pejabat. Selain itu, orang ramai juga boleh menderma secara online melalui akaun Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) iaitu akaun nombor 00-001-01-0076007.

Bagi sebarang pertanyaan mengenai perkara ini, boleh menghubungi pihak Urus Setia Jawatankuasa Kemanusiaan Bencana Sulawesi di talian 2381903 ext 1341/1242 atau emel melalui pr.japem@gmail.com